Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Kita telah mengorak langkah ke tahun 2017 yang menjanjikan pelbagai cabaran bagi setiap penjawat awam di Jempol. Justeru itu dalam memasuki gerbang tahun baru ini, pelbagai usaha akan digiatkan sebagai kesinambungan menuju ke matlamat yang disasarkan oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Menteri Besar Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan. Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak dan menyeru para warga kerja di daerah Jempol untuk menggembleng tenaga mendukung setiap dasar yang diperkenalkan melalui Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2015-2045 (30 tahun) bak kata pepatah yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing dan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Sejajar itu, daerah Jempol akan dibangunkan menjadi satu wilayah bandar pertanian yang dikenali sebagai agropolis yang manpan, maju, berkualiti dan produktiviti tinggi serta sejahtera didiami. Perkembangan ini akan menjadikan Jempol sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dan memacu sebagai pusat petempatan utama.

Pada waktu yang sama, besarlah harapan saya agar pengunjung laman web ini memperoleh maklumat berkaitan penawaran perkhidmatan dalam talian seperti bayaran cukai tanah, aduan dan maklumbalas selain maklumat berkaitan dengan jabatan khususnya mengenai aktiviti-aktiviti daerah. Seterusnya, selaras dengan usaha-usaha mempertingkatkan sistem penyampaian jabatan, kemudahan memuat turun borang-borang yang berkenaan dan pautan terus ke laman web agensi kerajaan yang lain turut ditawarkan bagi tujuan tersebut.

Secara tuntas, sentiasalah bersiap siaga mendepani cabaran dewasa ini disamping menjaga keterampilan sebagai penjawat awam serta bersedia menabur bakti sepanjang perkhidmatan. Semoga tahun 2017 menghasilkan kejayaan gemilang dan pencapaian tertinggi buat warga kerja pentadbiran daerah Jempol. Selamat melayari laman web Pejabat Daerah dan Tanah Jempol. Sekian, terima kasih. Hj. Zazali bin Salehudin Pegawai Daerah Jempol